Saturday 5 December 2015

Islam dan Hari Krismas



Apabila Nabi Muhammad (s.a.w) menyuruh umatnya berpuasa sunat pada hari Assyura kerana Baginda melihat Yahudi berpuasa pada hari tersebut kerana bergembira dengan peristiwa terselamatnya Nabi Musa a.s dan kaumnya dari Firaun dan bala tenteranya.

Baginda menyatakan: “Kita orang Islam adalah lebih berhak untuk menyambut kegembiraan tersebut dari mereka.

Rasulullah (s.a.w) menyuruh berpuasa tanpa bertanya dengan lebih lanjut mengenai benarkah tarikh 10 Muharram itu hari terselamatnya Nabi Musa padahal Rasulullah (s.a.w) sedia maklum bahawa kalendar orang Yahudi amat berbeza dengan kalendar Arab. Ini adalah kerana perkara tersebut bukan hanya sekadar tarikh atau masa tapi tumpuan ialah kepada peristiwa yang penuh signifikan dan bermakna dalam Islam, tidak kira bila dan di mana ia berlaku.

Apa yang penting ialah peristiwa itu merupakan manifestasi kurniaan Allah yang termaktub di dalam Al-Quran. Nabi Musa ialah salah seorang Nabi yang wajib kita imani dalam Islam. Maka peristiwa tersebut berhak untuk orang Islam bergembira dengannya.

Jika kita perhatikan rukun Islam kelima iaitu haji, ia penuh dengan rahsia-rahsia yang tersirat di sebalik ibadat-ibadat yang terdapat dalam amalan haji. Ianya berkaitan dengan peristiwa-peristiwa dalam lipatan sejarah yang pernah berlaku di masa lampau ke atas hamba-hamba Allah yang soleh.

Bermula dengan tawaf sempena pembinaannya oleh Nabi Ibrahim dan anaknya mendirikan bangunan ka’abah kemudian mengelilinginya 7 kali. Sa’ie antara Safa dan Marwah adalah bersempena larian Siti Hajar berulang-alik 7 kali mencari air. Melontar jumrah di 3 tempat ialah bersempena lontaran batu oleh Nabi Ibrahim, Nabi Ismail dan Siti Hajar kea rah syaitan yang cuba menggoda mereka.

Ibadah korban pula bersempena peristiwa Nabi Ibrahim diperintah Allah untuk menyembelih anaknya kemudian digantikan dengan kambing(kibas). Wuquf di Arafah bersempena pertemuan Nabi Adam dan Siti Hawwa. Peristiwa-peristiwa ini semua sekaligus menjadi syi’ar agama ini yang wajib kita agungkan sebagai tanda taqwa kita kepada Allah.

Firman Allah Taala yang bermaksud “ Barangsiapa yang mengagungkan (ta’zhim) syi’ar Allah, maka sesungguhnya ia adalah dar ketaqwaan hati”. (Surah al-Hajj::32)

‘Hari-hari’ tersebut diikat dengan makna dan hakikat yang mendalam dalam syariat sehingga Allah mengabadikan peristiwa-peristiwa tersebut dalam ibadah haji umat ini. Ini adalah termasuk di dalam ertikata ‘mengingati HARI-HARI Allah’ sepertimana firmanNya yang berbunyi “Dan ingatkanlah mereka mengenai hari-hari Allah. Sesungguhnya di dalamnya terdapat tanda-tanda untuk setiap orang yang sabar dan bersyukur”. (Surah Ibrahim:5).

Ini adalah tanda kerahiman dan kasih sayang Allah yang mana zat-Nya tidak dapat dicapai oleh akal manusia namun Allah telah menciptakan dari kalangan makhlukNya yang dijadikan syi’ar agama lalu pengagungan kita terhadap perkara-perkara tersebut bermakna pengagungan kita kepada Allah.

Oleh itu, hati yang bergembira dengan kelahiran salah seorang Rasul yang membawa hidayat petunjuk iaitu Nabi Isa adalah sesuatu yang terpuji. Tarikh 25 Disember yang didakwa orang Kristian sebagai kelahiran Nabi Isa samaada ia benar atau tidak hari kelahiran Nabi Isa adalah tidak menjadi masalah kerana hakikat tidak tertakluk kepada tarikh tapi kepada peristiwa tersebut.

Bagaimana tidak, di dalam Surah Maryam, peristiwa kelahiran Nabi Isa dirakam secara terperinci sejak ibu Nabi Isa iaitu Maryam (as) mula mengandungkannya, bagaimana ketika mengandung, ketika sakit hendak melahirkan, juga dirakam saat selepas melahirkan dan beberapa hari setelah melahirkan apabila Nabi Isa bercakap sedang baginda masih bayi (Surah Maryam: 16-34).

Nabi Isa dengan lisannya yang fasih “ Dan keselamatan ke atasku ketika aku dilahirkan dan ketika aku wafat dan ketika aku akan dibangkitkan kelak”. (Surah Maryam: 33).

Kegembiraan kita terhadap kelahiran Rasul yang membawa kurniaan keselamatan ini adalah sesuatu yang dituntut di dalam Quran. Firman Allah Taala yang bermaksud “Katakanlah (Wahai Muhammad): ‘Dengan kurnia Allah dan rahmat-Nya, hendaklah dengan itu mereka bergembira’. Kurnia Allah dan rahmat-Nya itu adalah lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan”. (surah Yunus: 58).

Berkenaan dengan perkataan ‘Krismas’ itu sendiri, ianya tidak lagi mempunyai makna asal seperti mana dalam akidah orang kristian kerana perayaan Krismas kini disambut lebih berbentuk kebudayaan. Analisa yang teliti mendapati makna keagamaan telah ditanggalkan dari perayaan Krismas. Sama halnya kita diperboleh menggunakan perkataan Januari, Februari, Disember dan lain-lain yang pada asalnya nama berhala atau dewa bagi bangsa Rom. Tetapi kini makna berhala atau dewa orang Rom telah dikosongkan dari nama-nama tersebut.

Ucapan tahniah dari orang Islam sempena kelahiran Nabi Isa ialah dengan pengakuan bahawa baginda ialah seorang hamba Allah, seorang Nabi dan Rasul pilihan Allah. Tanda kecintaan dan kegembiraan kita kepada salah seorang utusan Allah. Jika terdapat peluang yang baik, terangkanlah kepada saudara Kristian kita siapa Nabi Isa yang sebenar.

Mudah-mudahan mereka mendapat hidayah dengan menonjolkan agama kita ada agama yang penuh kasih sayang dari kecintaan sepertimana Raja Najashi yang beragama Kristian memeluk Islam setelah mendengar kisah Nabi Isa dalam Surah Maryam yang dibaca oleh sahabat Rasulullah (s.a.w) bernama Abdullah bin Ja’far (r.a).

Pada kesempatan ini, kita mengucapkan tahniah kepada sekalian alam di atas kelahiran Nabi Muhammad Rahmatan lil a’lamin. Nabi isa dan kelahiran sekalian Nabi dan Rasul.

Selamat dan salam ke atas Nabi Isa pada kelahirannya, pada hari turunnya di akhir zaman memimpin umat ini kepada Allah, pada hari kewafatannya dan pada hari kebangkitannya di akhirat kelak.
Sabda NAbi Muhammad (s.a.w), “Aku lebih berhak dan lebih hampir dengan Nabi Isa ibni Maryam di dunia dan di akhirat. (Riwayat Muslim).


(Diolah dari kalam al-Habib Ali al-Jufri)  

2 comments: