Saturday 5 December 2015

Fenomena Valentine’s Day



Fenomena sebahagian remaja yang menjadikan Valentine’s Day sebagai perayaan paling diminati dan sangat-sangat ditunggu untuk diraikan bersama kekasih amat menggusarkan. Ia sebenarnya merupakan satu fenomena ajaib dan aneh kerana perayaan ini tidak pernah disisipkan secara rasmi di mana-mana kalendar. Akan tetapi ia terus diingati dan diraikan saban tahun.

Bagi mereka yang meraikan sambutan Valentine’s Day, ungkapan ‘To be my Valentine’ sering bermain di bibir. Kebiasaannya ia diungkapkan oleh teruna kepada si dara dalam menzahirkan kecintaannya.

Menurut Ken Sweiger, perkataan “Valentine” berasal dari bahasa Latin yang mempunyai maksud “Yang Maha Perkasa, Yang Maha Kuat, dan Yang Maha Kuasa”. Menurutnya lagi, kata ini sebenarnya digunakan pada zaman Rom Kuno ditujukan kepada Nimrod dan Lupercus, tuhan orang Rom. Sedar atau tidak, menurut Sweiger, jika seseorang (seorang muslim) meminta orang lain atau pasangannya menjadi “To be my Valentine?”, maka dengan itu sesungguhnya dia telah secara terangan melakukan suatu perbuatan yang bercanggah dengan aqidah dan dimurkai Allah kerana dia seolah-olah meminta seseorang yakni pasangannya itu menjadi “Sang Maha Kuasa” dan hal ini sama dengan usaha menghidupkan kembali budaya pemujaan berhala.   


Mawar merah

Selain ucapan ‘To be my Valentine,’ pemberian jambangan mawar merah oleh si teruna kepada si dara juga sering menjadi amalan pada Valentine’s Day. Ia dianggap sebagai satu simbol dalam menzahirkan kasih sayang ‘hakiki’. Sebenarnya perbuatan ini merupakan amalan kebudayaan Eropah dengan diselitkan kepercayaan karut. Menurut satu mitos Rom kuno, mawar merah merupakan bunga kegemaran Venus, si dewi cinta. Dewi itu amat sinonim dengan memperingati kekasih. Ia tidak ada kaitan dengan Islam dan hanya mengikut ‘teladan’ mitos karut.

Amalan memberi bunga mawar merah ini sebenarnya mula dipopularkan pada tahun 1970an. Ia berlaku selepas Raja Charles II mengarang buku yang bertajuk The Language of Flowers, yang menguraikan tentang amalan kebiasaan bangsa Parsi yang mengungkapkan perasaan melalui bunga. Sejak itu, pemberian mawar merah terutama pada saat Valentine’s Day terus menjadi amalan tanpa mengetahui sebabnya.


Hukum Menyambut Valentine’s Day

Kebanyakan ulama’ telah sepakat dalam menentukan hukum menyambut hari Valentine bertentangan dengan syarak. Menurut Panel Kajian Aqidah (PKA) dan Panel Kajian Syariah (PKS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, amalan ini adalah haram dan bertentangan dengan ajaran Islam.

Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia memutuskan bahawa amalan merayakan Hari Valentine tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.

Pengharaman dan larangan ini bukanlah bermaksud menghalang keseronokan remaja yang menjadikan perayaan tersebut sebagai trend mereka, tetapi ianya berlandaskan kepada apa yang dilarang oleh Al-Quran dan As-Sunnah yang merupakan panduan seluruh umat manusia untuk mengecapi kebahagiaan dan keindahan hidup di dunia dan di akhirat.


Sejarah Valentine’s Day

Menurut Rizki Ridyasmara di dalam bukunya, Valentine Day, Natal, Happy New Year, April Mop, Hallowen: So What?, para sejarawan masih tidak mempunyai kata sepakat berkenaan peristiwa apa sebenarnya yang menjadikan Valetine’s Day terus diingati dan diraikan. Tetapi daripada beberapa sumber sejarah, terdapat empat (4) versi pendapat yang amat popular berkaitan dengannya.


Pendapat Pertama

Mengaitkan Sambutan Hari Valentine dengan pesta sambutan kaum Rom kuno sebelum kedatangan agama Kristian yang dinamakan Lupercalia (upacara penyucian diri yang berlangsung dari 13 hingga 18 Februari.


Pendapat Kedua

Mengaitkannya dengan kematian paderi St. Valentine ketika pemerintahan Raja Rom yang bernama Claudius II


Pendapat Ketiga

Ianya diraikan bersempena kejatuhan Kerajaan Islam Andalusia di Sepanyol di mana St. Valentine merupakan individu yang telah memainkan peranan penting dalam usaha menjatuhkan kerajaan Islam itu. Disebabkan sumbangan itu, St. Valentine dianggap sebagai kekasih rakyat. 14 Februari 1492 merupakan tarikh kejatuhan Islam di Sepanyol dan hari itu dianggap sebagai hari kasih sayang kerana mereka menganggap Islam adalah agama yang zalim.


Pendapat Keempat

Berdasarkan apa yang dinukilkan oleh Geoffrey Chaucer, seorang penyair Inggeris di dalam puisinya. Sambutan Hari Valentine ini bersempena dengan sifat burung yang musim mengawannya pada 14 Februari.

Berdasarkan kepada versi-versi tersebut, ianya amat jelas tiada hubungan sama ada secara langsung ataupun tidak langsung dengan budaya kita mahupun agama bagi umat Islam. Malahan ianya amat jelas mempunyai kaitan dalam memperlekehkan aqidah Islam dan orang islam itu sendiri.


Bagi menyelamatkan agama dan umat dari terus hancur dan musnah akibat daripada amalan-amalan yang bertentangan dengan aqidah dan syariah sempena Valentine’s Day ini perlulah disemaikan dalam setiap minda kita mewar-warkan larangan Sambutan Valentine’s Day dari terus diraikan oleh umat Islam khususnya di negara kita. Wujudkanlah perasaan anti Valentine’s Day di minda dan hati, hadirkan rasa benci dan tidak akan pernah meraikannya.   




Perubatan herba diintai dunia Barat ketika kian dilupai di Timur


Apabila dunia Barat mula beralih kepada penggunaan herba untuk melengkapi dunia perubatan moden, masyarakatrantau ini mungkin kurang menyedari keistimewaan herba berkenaan yang tumbuh melata di depan mata sendiri.

Tidak hairan jika tulisan HM Burkill mengenai 1,000 spesis herba di Semenanjung Malaysia (ketika itu Malaya), pada awl abad ke-20, dijadikan rujukan pelbagai pihak dalam dan luar negara. Malah, tulisan awal mengenai herba itu dikatakan masih menjadi sebahagian rujukan penyelidik masa kini.

Di sebalik dedaun comel menghijau di laman rumah, tumbuhan seperti pegaga mempunyai pelbagai keunikan untuk meningkatkan tahap kesihatan seseorang termasuk dalam kalangan kanak-kanak kurang upaya.

Profesor di Fakulti Sains dan Teknologi Pemakanan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Suhaila Mohamed menyifatkan tumbuhan herba yang lazimnya dijadikan ulam-ulaman itu membantu meningkatkan keupayaan dari segi pengawalan saraf dalam kalangan kanak-kanak terbabit.

“Ini kerana pegaga mempunyai kesan pelalian pada saraf. Bagi mereka yang mahu meningkatkan daya ingatan, pegaga antara pilihan herba yang baik berdasarkan hasil kajian yang dijalankan oleh UPM kira-kira dua tahun lalu.

Kajian dalam kalangan lelaki dan wanita lingkungan usia 35 hingga 55 tahun mendapati pegaga bukan saja berupaya meningkatkan ingatan malah mengurangkan paras glukos dan kolesterol. Bagi lelaki pula, ia dapat meningkatkan tenaga seksual.

Di pelosok dunia lain, penggunaan pegaga atau secara saintifiknya dikenali sebagai centella asiatica turut tersenarai dalam dunia perubatan herba ayurveda dan tradisional Cina. Perubatan ayurveda menyifatkan tumbuhan herba ini sebagai tonik otak, antara lain bagi membantu meningkatkan daya ingatan, usia panjang dan mengekalkan keremajaan.

Dalam perubatan berkenaan, seluruh bahagian pegaga dianggap sesuai untuk membantu meningkatkan daya ingatan. Di kalangan masyarakat India, tumbuhan berkenaan dipercayai membantu mengatasi pelbagai masalah lain seperti sakit kepala, sakit badan, asma, ulser serta menyembuhkan luka.

Perubatan tradisional Cina pula memanfaatkan pegaga untuk membantu mengatasi masalah keletihan secara fizikal dan mental. Dalam pelbagai kajian lain, pegaga memiliki pelbagai kegunaan untuk membantu meningkatkan tahap kesihatan seseorang termasuk pembentukan kolagen, membolehkan seseorang tidur lebih lena, merangsang selera makan serta membantu dari segi rawatan pernafasan, reproduktif, saraf, antiradang dan meningkatkan pengaliran darah.

Pegaga yang turut dikomersialkan masa kini antaranya dalam bentuk sabun, namun menurut Prof Suhaila, ia boleh dimanfaatkan dalam pelbagai bentuk barangan lain termasuk barangan kosmetik memandangkan keupayaan pegaga serupa seperti vitamin C.

Lebih elok jika mengambil pegaga mentah atau segar tetapi lantaran kesuntukan waktu kini, tak salah jika ia dikomersialkan kerana penggunannya mungkin lebih mudah. Tidak hanya pegaga, pelbagai tumbuhan tempatan memiliki banyak khasiat dari sudut kesihatan seperti kunyit, sirih dan mengkudu.
Ketua Pengarang Journal of Tropical Medicinal Plants, Prof A N Rao, mengakui perubatan tradisonal berasaskan tumbuhan herba mampu melengkapi dunia perubatan moden kini.

Gabungan rawatan moden dan tradisional tentunya menghasilkan penemuan yang cukup baik dalam bidang kesihatan. Justeru, tidak hairan jika masyarakat di Barat kini lebih cenderung kepada perubatan tradisional malah mereka turut memanfaatkan penggunaan herba secara lebih baik dan meluas berbanding masyarakat Timur sendiri.


Menurut Prof A N Rao, dunia perubatan herba bermula sekitar 6,000 hingga 7,000 tahun lalu meliputi beberapa negara seperti China, India, Jepun dan Korea yang memiliki herba istimewa masing-masing. Perubatan Barat yang berasaskan sistem perubatan Yunani bermula sekitar 2,000 tahun lalu yang menumpukan kaedah merawat penyakit demi penyakit. Ini berbeza dengan sistem perubatan tradisional Asia yang merawat seluruh tubuh dan bukannya rawatan berdasarkan sesuatu penyakit. Meskipub rawatan herba ini mengambil masa yang lebih lama, kesan sampingannya kurang malah tidak meninggalkan sebarang sisa berbanding ubat-ubatan moden. 
Islam dan Hari Krismas



Apabila Nabi Muhammad (s.a.w) menyuruh umatnya berpuasa sunat pada hari Assyura kerana Baginda melihat Yahudi berpuasa pada hari tersebut kerana bergembira dengan peristiwa terselamatnya Nabi Musa a.s dan kaumnya dari Firaun dan bala tenteranya.

Baginda menyatakan: “Kita orang Islam adalah lebih berhak untuk menyambut kegembiraan tersebut dari mereka.

Rasulullah (s.a.w) menyuruh berpuasa tanpa bertanya dengan lebih lanjut mengenai benarkah tarikh 10 Muharram itu hari terselamatnya Nabi Musa padahal Rasulullah (s.a.w) sedia maklum bahawa kalendar orang Yahudi amat berbeza dengan kalendar Arab. Ini adalah kerana perkara tersebut bukan hanya sekadar tarikh atau masa tapi tumpuan ialah kepada peristiwa yang penuh signifikan dan bermakna dalam Islam, tidak kira bila dan di mana ia berlaku.

Apa yang penting ialah peristiwa itu merupakan manifestasi kurniaan Allah yang termaktub di dalam Al-Quran. Nabi Musa ialah salah seorang Nabi yang wajib kita imani dalam Islam. Maka peristiwa tersebut berhak untuk orang Islam bergembira dengannya.

Jika kita perhatikan rukun Islam kelima iaitu haji, ia penuh dengan rahsia-rahsia yang tersirat di sebalik ibadat-ibadat yang terdapat dalam amalan haji. Ianya berkaitan dengan peristiwa-peristiwa dalam lipatan sejarah yang pernah berlaku di masa lampau ke atas hamba-hamba Allah yang soleh.

Bermula dengan tawaf sempena pembinaannya oleh Nabi Ibrahim dan anaknya mendirikan bangunan ka’abah kemudian mengelilinginya 7 kali. Sa’ie antara Safa dan Marwah adalah bersempena larian Siti Hajar berulang-alik 7 kali mencari air. Melontar jumrah di 3 tempat ialah bersempena lontaran batu oleh Nabi Ibrahim, Nabi Ismail dan Siti Hajar kea rah syaitan yang cuba menggoda mereka.

Ibadah korban pula bersempena peristiwa Nabi Ibrahim diperintah Allah untuk menyembelih anaknya kemudian digantikan dengan kambing(kibas). Wuquf di Arafah bersempena pertemuan Nabi Adam dan Siti Hawwa. Peristiwa-peristiwa ini semua sekaligus menjadi syi’ar agama ini yang wajib kita agungkan sebagai tanda taqwa kita kepada Allah.

Firman Allah Taala yang bermaksud “ Barangsiapa yang mengagungkan (ta’zhim) syi’ar Allah, maka sesungguhnya ia adalah dar ketaqwaan hati”. (Surah al-Hajj::32)

‘Hari-hari’ tersebut diikat dengan makna dan hakikat yang mendalam dalam syariat sehingga Allah mengabadikan peristiwa-peristiwa tersebut dalam ibadah haji umat ini. Ini adalah termasuk di dalam ertikata ‘mengingati HARI-HARI Allah’ sepertimana firmanNya yang berbunyi “Dan ingatkanlah mereka mengenai hari-hari Allah. Sesungguhnya di dalamnya terdapat tanda-tanda untuk setiap orang yang sabar dan bersyukur”. (Surah Ibrahim:5).

Ini adalah tanda kerahiman dan kasih sayang Allah yang mana zat-Nya tidak dapat dicapai oleh akal manusia namun Allah telah menciptakan dari kalangan makhlukNya yang dijadikan syi’ar agama lalu pengagungan kita terhadap perkara-perkara tersebut bermakna pengagungan kita kepada Allah.

Oleh itu, hati yang bergembira dengan kelahiran salah seorang Rasul yang membawa hidayat petunjuk iaitu Nabi Isa adalah sesuatu yang terpuji. Tarikh 25 Disember yang didakwa orang Kristian sebagai kelahiran Nabi Isa samaada ia benar atau tidak hari kelahiran Nabi Isa adalah tidak menjadi masalah kerana hakikat tidak tertakluk kepada tarikh tapi kepada peristiwa tersebut.

Bagaimana tidak, di dalam Surah Maryam, peristiwa kelahiran Nabi Isa dirakam secara terperinci sejak ibu Nabi Isa iaitu Maryam (as) mula mengandungkannya, bagaimana ketika mengandung, ketika sakit hendak melahirkan, juga dirakam saat selepas melahirkan dan beberapa hari setelah melahirkan apabila Nabi Isa bercakap sedang baginda masih bayi (Surah Maryam: 16-34).

Nabi Isa dengan lisannya yang fasih “ Dan keselamatan ke atasku ketika aku dilahirkan dan ketika aku wafat dan ketika aku akan dibangkitkan kelak”. (Surah Maryam: 33).

Kegembiraan kita terhadap kelahiran Rasul yang membawa kurniaan keselamatan ini adalah sesuatu yang dituntut di dalam Quran. Firman Allah Taala yang bermaksud “Katakanlah (Wahai Muhammad): ‘Dengan kurnia Allah dan rahmat-Nya, hendaklah dengan itu mereka bergembira’. Kurnia Allah dan rahmat-Nya itu adalah lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan”. (surah Yunus: 58).

Berkenaan dengan perkataan ‘Krismas’ itu sendiri, ianya tidak lagi mempunyai makna asal seperti mana dalam akidah orang kristian kerana perayaan Krismas kini disambut lebih berbentuk kebudayaan. Analisa yang teliti mendapati makna keagamaan telah ditanggalkan dari perayaan Krismas. Sama halnya kita diperboleh menggunakan perkataan Januari, Februari, Disember dan lain-lain yang pada asalnya nama berhala atau dewa bagi bangsa Rom. Tetapi kini makna berhala atau dewa orang Rom telah dikosongkan dari nama-nama tersebut.

Ucapan tahniah dari orang Islam sempena kelahiran Nabi Isa ialah dengan pengakuan bahawa baginda ialah seorang hamba Allah, seorang Nabi dan Rasul pilihan Allah. Tanda kecintaan dan kegembiraan kita kepada salah seorang utusan Allah. Jika terdapat peluang yang baik, terangkanlah kepada saudara Kristian kita siapa Nabi Isa yang sebenar.

Mudah-mudahan mereka mendapat hidayah dengan menonjolkan agama kita ada agama yang penuh kasih sayang dari kecintaan sepertimana Raja Najashi yang beragama Kristian memeluk Islam setelah mendengar kisah Nabi Isa dalam Surah Maryam yang dibaca oleh sahabat Rasulullah (s.a.w) bernama Abdullah bin Ja’far (r.a).

Pada kesempatan ini, kita mengucapkan tahniah kepada sekalian alam di atas kelahiran Nabi Muhammad Rahmatan lil a’lamin. Nabi isa dan kelahiran sekalian Nabi dan Rasul.

Selamat dan salam ke atas Nabi Isa pada kelahirannya, pada hari turunnya di akhir zaman memimpin umat ini kepada Allah, pada hari kewafatannya dan pada hari kebangkitannya di akhirat kelak.
Sabda NAbi Muhammad (s.a.w), “Aku lebih berhak dan lebih hampir dengan Nabi Isa ibni Maryam di dunia dan di akhirat. (Riwayat Muslim).


(Diolah dari kalam al-Habib Ali al-Jufri)  

Friday 4 December 2015

Kisah Fadhilat Selawat


Dikisahkan bahawa ada seorang ibu berguru kepada Syeikh Hassan Al-Bashri. Pada suatu hari seorang wanita menghadap gurunya seraya berkata: "Guru, puteriku telah lama meninggal dunia, aku ingin sekali menemuinya melalui mimpi. Maka perkenankan guru agar agar mengajarkan kepadaku agar aku dapat menemuinya." Lalu Syeikh Hassan Al-Bashri pun mengajar wanita itu agar membaca selawat Nabi dan pahalanya ditujukan kepada roh puterinya itu.
Setelah beberapa hari ibu itu mengamalkan apa yang diajarkan oleh Syeikh Hassan Al-Bashri. Maka pada suatu hari ibu itu telah bermimpi bertemu dengan puterinya. Dilihatnya, si puterinya sedang sedang mengenakan baju yang diperbuat daripada api neraka. Lehernya terbelenggu dan kedua kakinya terikat oleh tali yang diperbuat daripada api neraka. Lehernya terbelenggu dan kedua kakinya terikat oleh tali yang diperbuat daripada api.
Ketika ibu terbangun daripada tidur dia begitu sedih dan langsung pergi menghadap Syeikh Hassan Al-Bashri. Maka Syeikh Hassan Al-Bashri berserta anak muridnya yang lain turut menangis penuh hiba apa mendengarkan mimpi yang disampaikan kepadanya.
Beberapa hari kemudian, Syeikh Hassan Al-Bashri bermimpi melihat puteri itu tiba-tiba keadaannya berubah. Puteri itu berada di syurga. Dia nampak sedang duduk santai di atas pelaminan emas dan di kepalanya mengenakan mahkota putih bercahaya. Cahaya mahkota itu menerangi sekelilingnya dari hujung barat hingga ke timur. Tiba-tiba puteri itu menegur sambil berkata: "Wahai guru tahukah engkau siapakah aku ini?"
Syeikh Hassan Al-Bashri: "Tidak!"
Puteri: Aku adalah puteri dari ibu yang telah guru ajari selawat itu.
Syeikh Hassan Al-Bashri: Mengapakah kedudukanmu sekarang begitu mulia?"
Puteri: "Wahai guru, suatu ketika ada seorang lelaki telah lalu di tanah perkuburanku sambil membacakan sekali selawat Nabi. Kemudian pahalanya ditujukan kepada kami semua ahli kubur. Di antara kami ada yang diseksa terus-menerus dan menderita seksa kubur. Tiba-tiba terdengar suara: "Wahai malaikatKu bebaskanlah mereka semua kerana mereka mendapat limpahan rahmat atas bacaan selawat tersebut.
Sumber dari Kisah Motivasi Untuk Hidup Bertakwa 
Credit to: Ustaz Iqbal Zain
Khasiat Madu Untuk Kesihatan 



Madu sudah tidak asing lagi dengan cairan kental dan memiliki rasa yang manis. Madu dihasilkan oleh lebah dengan memiliki banyak manfaat untuk pelbagai jenis masalah kesihatan. Madu sudah dipercayai sejak ratusan tahun dahulu untuk digunakan dalam kesihatan dan juga pengubatan secara tradisional dan semulajadi. Selain daripada kesihatan, madu juga bermanfaat untuk kecantikan dalaman dan luaran kita. 

Ada kebiasaan kesihatan yang boleh dilakukan setiap hari dengan madu. Untuk kesihatan, madu boleh dicampur dengan air panas dan diamalkan setiap pagi, Menurut lifehack.com beberapa khasiat yang akan diperolehi jika air panas dicampurkan dengan madu. Antaranya ialah: 

1) Memelihara sistem pencernaan

Madu salah satunya memiliki khasiat memelihara sistem pencernaan kerana kandungan antiseptik yang ada di dalamnya sehingga dapat membantu dalam mengurangkan asid dalam perut selain dapat meningkatkan produksi lendir yang ada di dalam usus. Sekiranya kita mempunyai masalah dalam membuang air besar, amalkan dengan meminum air panas yang dicampur dengan madu untuk tujuan pencernaan.

2) Meningkatkan sistem imunisasi tubuh

Madu juga berkhasiat untuk membunuh bakteria. Selain itu, madu mempunyai manfaat sebagai antioksida yang dapat mengatasi radikal bebas merbahaya yang boleh merosakkan tubuh dan kulit. Kandungan gula semulajadi yang ada di dalam madu yang juga merupakan sumber kalori yang baik untuk kesihatan tubuh badan kita.

3) Memberikan tenaga

Di sebabkan khasiat yang ada di dalam madu yang juga baik untuk tubuh badan kita, kita boleh meggantikan air kopi dengan segelas air panas campuran madu dalam mengawal aktiviti seharian terutama di waktu pagi.   

4) Membantu proses detoks

Kandungan pelbagai zat yang bermanfaat dalam segelas air panas dan madu dapat membantu tubuh kita untuk membuang racun yang ada di dalam tubuh. Ketika tubuh kita mampu membuang air besar dengan teratur, maka racun yang berada dalam tubuh dapat dikeluarkan. Campuran air panas dengan madu dan ditambahkan perahan lemon juga boleh membuat pembuangan racun lebih berkesan dan efektif. Ini kerana kandungan asid sitrik yang ada di dalam lemon dapat membantu meningkatkan fungsi enzim sehingga dapat membantu dalam proses detoks dalam tubuh.

5) Mengurangkan iritasi pada tekak

Menurut Mayo Clinic, air panas yang dicampur dengan madu dapat mengurangkan rasa sakit dan iritasi pada tekak. 




Khasiat Madu untuk Kecantikan Kulit Wajah dan Jerawat


1) Melindungi Kulit

Antara khasiat madu yang cukup terkenal ialah memelihara dan melindungi kulit. Madu memiliki kandungan antioksida, antikulat dan antimikrob yang dapat menyembuhkan bintik merah, jangkitan pada kulit dan juga menyembuhkan luka.

2) Melembapkan kulit

Untuk membuat kulit menjadi lebih lembut, kita boleh mengamalkan madu secara teratur untuk melembutkan kulit ataupun rambut. Boleh juga dengan menyapukan juga madu pada kawasan leher dan juga wajah untuk melembutkan kulit.

3) Mencegah Penuaan pada Kulit

Tanda-tanda penuaan dapat dikurangkan dengan menggunakan madu, dan kita akan kelihatan lebih muda. Ini kerana madu mempunyai khasiat sebagai perlindungan radikal bebas. Bahkan madu boleh dijadikan toner dengan mencampurkannya dengan beberapa bahan lain. Sebagai contoh, dengan mencampurkan dua sudu teh lemon, dua sudu teh madu dan campurkan air secukupnya kemudian masukkan campuran tadi ke dalam gelas dan seterusnya kacau hingga rata dan sapukan pada wajah untuk dijadikan sebagai toner.

4) Memelihara Kecantikan Kulit

Kandungan magnesium, potasium dan juga kalsium yang ada di dalam madu dapat membantu dalam pertumbuhan semula sel kulit dan menjadikan kulit sihat dan cantik.

5) Menyembuhkan Luka pada Kulit

Intipati gula dalam madu dapat membantu mempercepatkan penyembuhan pada luka kerana kandungan antimikrob di dalamnya.



Khasiat Madu untuk Jerawat


1) Ambil sedikit madu untuk dioleskan pada kulit muka yang berjerawat. Kandungan antibakteria yang ada di dalamnya dapat membunuh jerawat.

2) Madu juga boleh dijadikan sebagai masker untuk kulit yang berjerawat.


Semoga artikel Khasiat Madu untuk Kesihatan ini dapat memberikan maklumat dan membantu mereka yang inginkan kaedah rawatan kulit dan kesihatan dengan menggunakan madu. Selain khasiat-khasiat madu yang saya sebutkan di atas, masih banyak lagi khasiat dan manfaat lain dalam penggunaan madu. Ini kerana madu juga merupakan makanan sunnah sebagaimana yang disebutkan firmanNya dalam surah An-Nahl ayat 69 yang bermaksud: 
"Dari perut lebah itu, keluar minuman (madu) yang bermacam jenis warnanya, di dalamnya terdapat ubat yang menyembuhkan bagi manusia."
Madu juga dapat mengubati sakit perut, seperti yang disebutkan Nabi s.a.w dalam hadith yang bermaksud: "Ada seorang lelaki mengadap Baginda Nabi s.a.w dan dia berkata: Saudaraku mengadu sakit pada perutnya. Nabi berkata: "Berikan dia madu." Kemudian lelaki itu datang lagi untuk kali yang kedua. Nabi berkata lagi: "Berikan dia madu." Lelaki itu pun datang lagi pada kali yang ketiga, Nabi berkata: "Berikan dia madu." Setelah itu lelaki itu datang lagi dan mengatakan: Aku telah melakukannya. Kemudian Nabi berkata: "Allah Maha Benar dan perut saudaramu itu dusta. Berikan lagi madu itu kepadanya." Lelaki itu pun memberikan madu kepada saudaranya untuk dimakan dan setelah itu saudaranya sembuh.
(Hadith Bukhari no. 5684 dan Muslim no. 5731)