Saturday 5 December 2015

Fenomena Valentine’s Day



Fenomena sebahagian remaja yang menjadikan Valentine’s Day sebagai perayaan paling diminati dan sangat-sangat ditunggu untuk diraikan bersama kekasih amat menggusarkan. Ia sebenarnya merupakan satu fenomena ajaib dan aneh kerana perayaan ini tidak pernah disisipkan secara rasmi di mana-mana kalendar. Akan tetapi ia terus diingati dan diraikan saban tahun.

Bagi mereka yang meraikan sambutan Valentine’s Day, ungkapan ‘To be my Valentine’ sering bermain di bibir. Kebiasaannya ia diungkapkan oleh teruna kepada si dara dalam menzahirkan kecintaannya.

Menurut Ken Sweiger, perkataan “Valentine” berasal dari bahasa Latin yang mempunyai maksud “Yang Maha Perkasa, Yang Maha Kuat, dan Yang Maha Kuasa”. Menurutnya lagi, kata ini sebenarnya digunakan pada zaman Rom Kuno ditujukan kepada Nimrod dan Lupercus, tuhan orang Rom. Sedar atau tidak, menurut Sweiger, jika seseorang (seorang muslim) meminta orang lain atau pasangannya menjadi “To be my Valentine?”, maka dengan itu sesungguhnya dia telah secara terangan melakukan suatu perbuatan yang bercanggah dengan aqidah dan dimurkai Allah kerana dia seolah-olah meminta seseorang yakni pasangannya itu menjadi “Sang Maha Kuasa” dan hal ini sama dengan usaha menghidupkan kembali budaya pemujaan berhala.   


Mawar merah

Selain ucapan ‘To be my Valentine,’ pemberian jambangan mawar merah oleh si teruna kepada si dara juga sering menjadi amalan pada Valentine’s Day. Ia dianggap sebagai satu simbol dalam menzahirkan kasih sayang ‘hakiki’. Sebenarnya perbuatan ini merupakan amalan kebudayaan Eropah dengan diselitkan kepercayaan karut. Menurut satu mitos Rom kuno, mawar merah merupakan bunga kegemaran Venus, si dewi cinta. Dewi itu amat sinonim dengan memperingati kekasih. Ia tidak ada kaitan dengan Islam dan hanya mengikut ‘teladan’ mitos karut.

Amalan memberi bunga mawar merah ini sebenarnya mula dipopularkan pada tahun 1970an. Ia berlaku selepas Raja Charles II mengarang buku yang bertajuk The Language of Flowers, yang menguraikan tentang amalan kebiasaan bangsa Parsi yang mengungkapkan perasaan melalui bunga. Sejak itu, pemberian mawar merah terutama pada saat Valentine’s Day terus menjadi amalan tanpa mengetahui sebabnya.


Hukum Menyambut Valentine’s Day

Kebanyakan ulama’ telah sepakat dalam menentukan hukum menyambut hari Valentine bertentangan dengan syarak. Menurut Panel Kajian Aqidah (PKA) dan Panel Kajian Syariah (PKS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, amalan ini adalah haram dan bertentangan dengan ajaran Islam.

Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia memutuskan bahawa amalan merayakan Hari Valentine tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.

Pengharaman dan larangan ini bukanlah bermaksud menghalang keseronokan remaja yang menjadikan perayaan tersebut sebagai trend mereka, tetapi ianya berlandaskan kepada apa yang dilarang oleh Al-Quran dan As-Sunnah yang merupakan panduan seluruh umat manusia untuk mengecapi kebahagiaan dan keindahan hidup di dunia dan di akhirat.


Sejarah Valentine’s Day

Menurut Rizki Ridyasmara di dalam bukunya, Valentine Day, Natal, Happy New Year, April Mop, Hallowen: So What?, para sejarawan masih tidak mempunyai kata sepakat berkenaan peristiwa apa sebenarnya yang menjadikan Valetine’s Day terus diingati dan diraikan. Tetapi daripada beberapa sumber sejarah, terdapat empat (4) versi pendapat yang amat popular berkaitan dengannya.


Pendapat Pertama

Mengaitkan Sambutan Hari Valentine dengan pesta sambutan kaum Rom kuno sebelum kedatangan agama Kristian yang dinamakan Lupercalia (upacara penyucian diri yang berlangsung dari 13 hingga 18 Februari.


Pendapat Kedua

Mengaitkannya dengan kematian paderi St. Valentine ketika pemerintahan Raja Rom yang bernama Claudius II


Pendapat Ketiga

Ianya diraikan bersempena kejatuhan Kerajaan Islam Andalusia di Sepanyol di mana St. Valentine merupakan individu yang telah memainkan peranan penting dalam usaha menjatuhkan kerajaan Islam itu. Disebabkan sumbangan itu, St. Valentine dianggap sebagai kekasih rakyat. 14 Februari 1492 merupakan tarikh kejatuhan Islam di Sepanyol dan hari itu dianggap sebagai hari kasih sayang kerana mereka menganggap Islam adalah agama yang zalim.


Pendapat Keempat

Berdasarkan apa yang dinukilkan oleh Geoffrey Chaucer, seorang penyair Inggeris di dalam puisinya. Sambutan Hari Valentine ini bersempena dengan sifat burung yang musim mengawannya pada 14 Februari.

Berdasarkan kepada versi-versi tersebut, ianya amat jelas tiada hubungan sama ada secara langsung ataupun tidak langsung dengan budaya kita mahupun agama bagi umat Islam. Malahan ianya amat jelas mempunyai kaitan dalam memperlekehkan aqidah Islam dan orang islam itu sendiri.


Bagi menyelamatkan agama dan umat dari terus hancur dan musnah akibat daripada amalan-amalan yang bertentangan dengan aqidah dan syariah sempena Valentine’s Day ini perlulah disemaikan dalam setiap minda kita mewar-warkan larangan Sambutan Valentine’s Day dari terus diraikan oleh umat Islam khususnya di negara kita. Wujudkanlah perasaan anti Valentine’s Day di minda dan hati, hadirkan rasa benci dan tidak akan pernah meraikannya.   




4 comments:

  1. Amalan meraikan Valentine Day ini harus dihapuskan dalam diri remaja masa kini yang amat mudah terpengaruh dengan budaya yang boleh membawa kepada kebinasaan kepada diri sendiri...

    ReplyDelete
  2. Interesting topic..thanks for sharing sw ;)

    ReplyDelete
  3. Terima kaseh atas feedback anda^^

    ReplyDelete
  4. Thanks for sharing

    ReplyDelete